babies
baby
baby development

Tuesday, December 1, 2009

Kisah CD puteri-puteriku

Assalamualaikum..

Sekarang saya nak kongsikan kisah CD kami.. rentetan peristiwa yang akhirnya membawa anak-anak saya Asma’ dan Aisyah boleh “terjebak” menggunakan CD.. Untuk pengetahuan, CD di sini bermaksud cloth diaper iaitu lampin kain :-)



Sebenarnya, sebelum saya melahirkan anak lagi saya sudah terfikir, tak ada ke cara lain nak lampinkan anak selain membalut bottomnya tu dengan kapas berlapis kertas dan plastik tu.. Terfikir saya, kita sendiri yang kena pakai kertas dan plastik seminggu dalam sebulan yang tak besar mana tu pun dah rasa rimas.. kesiannya baby2 yang seluruh bottomnya dibalut dengan benda tu sepanjang masa.. kalau nak bagi lampin kain pun, kena pakai seluar getah plastik juga.. Lagilah seluar getah tu kena diikat ketat2 untuk mengelakkan bocor.. oh kesiannya bayi2 ya.. kesian juga penajganya yang kejap2 kena tukar lampin tu lepas tu nak basuh lagi.. oh kesiannya ibu2 ya..

Suatu hari, saya nampak anak kakak saya memakai disposable diaper (DD) yang luarnya bukan plastik, tapi nampak macam kertas. Hampir tak percaya saya, dan saya tanyakan kakak saya, boleh ke bahan yang bukan plastik ni tak membocorkan air kencing? Kakak saya beritahu, inilah namanya “breathable”. Pembalut luar DD tu dibuatkan seperti kain yang boleh mengalirkan udara, pada masa yang sama juga boleh menahan cecair dari keluar. Oh gitu, kenapa kena cloth-like tak cloth terus kan? Boleh diguna balik, jimat duit kan? Ha kalau nak yg macam tu mana nak cari.. Begitulah kisahnya dalam 5 tahun lepas, sebelum saya menimang cahaya mata sendiri..

Apabila saya pula menimang cahaya mata pada November 2005, saya menimba ilmu tentang pengasuhan anak melalui buku-buku dan internet. Dari situ saya melanggani newsletter laman web tempatan yang menjual barang-barang penyusuan ibu dan barang-barang bayi. Pada suatu hari, newsletter yang saya langgani memberitakan bahawa laman web mereka dah mula menjual cloth diaper! Dan cloth diaper ini sebijik macam yang pernah saya bayangkan dulu, berbentuk seperti DD, tak payah lipat, dah ada butang, tak payah cucuk pin, tak payah balut dan ikat dengan seluar plastik, dan tak payah buang! Wah ini memang hebat, mimpi jadi nyata! Tapi tengoklah harganya, RM60 dan ke atas, alamak! Nampaknya tak boleh beli banyak ni..

Saya pun mencari-cari di Google kalau-kalau CD ini ada dijual di mana-mana lagi di Malaysia. Saya dapati CD hanya boleh didapati melalui beberapa e-shop barangan bayi di Malaysia ini. Jenama yang dijual ialah jenama Malaysia dan Singapura tetapi harganya boleh tahan juga. Selain itu terdapat sebuah e-shop khusus menjual CD yang diusahakan oleh seorang guru di Negeri Sembilan. E-shop ini pula menjual beberapa jenama dari Amerika. Nampaknya CD memang sangat-sangat baru di Malaysia.

Walau bagaimana pun saya mencuba dengan membeli dua helai CD dengan harga penghabisan stok dari e-shop CD tersebut. CD- CD ini saya pakaikan kepada anak sulung saya Asma’ yang pada masa itu sedang belajar berjalan.
Pemakaian CD kali pertama kepada Asma’ tidaklah menghasilkan kejayaan yang memberansangkan.

Pertama, kerana bilangan CD yang terlalu sedikit. Kedua, kerana kurang pengetahuan, saya memasukkan dua helai insert microfiber yang tebal dan besar ke dalam poket CD itu, akibatnya CD yang harga penghabisan stoknya RM50 lebih itu itu melondeh dan terbocor-bocor. Akhirnya apabila Asma’ mula menjadi heavy wetter selepas bercerai susu badan, CD milik Asma’ pun disimpan dan tidak diusik lagi selama beberapa tahun.

Aisyah lahir pada September 2007 di celah-celah kesibukan kami bekerja, membina rumah baru, dan berpindah. Aisyah dipakaikan DD 24 jam sehari sehingga umurnya 2 tahun. Pun begitu, beberapa peristiwa akhirnya membawa kepada pemakaian CD kepada Aisyah yang akhirnya saya sifatkan sebagai berjaya :-) Alhamdulillah.

Peristiwa pertama, pada suatu hari semasa berkursus, saya terperasan seorang rakan lelaki yang sedang melayari website membuka sebuah blog Bahasa Melayu yang di dalamnya memaparkan gambar berbagai CD berwarna-warni! Saya bertanya rakan tersebut: Lampin kain ke tu? Jawabnya malu-malu, alah, ni kawan forward ni.. Dari situ saya menyedari yang mungkin CD kini sudah semakin popular, dan mungkin kali ini harganya jauh lebih murah. Dan apabila saya google, memang benar, sudah ada blog-blog Malaysia yang menjual CD buatan China dengan harga RM30-an. Ini memang bagus, tapi macamana nak CDkan anak bila dia ke taska?

Peristiwa kedua, seorang rakan menerangkan kepada saya tentang bahayanya memakai tuala wanita seperti yang kita biasa pakai sekarang dan memberi alternatif iaitu tuala wanita berherba yang dijualnya. Penerangannya itu hanya membuatkan saya teringat yang saya patut kembali menCDkan anak saya. Tetapi lintasan fikiran yang saya ini terlalu sibuk di rumah, takkan mampu membasuh CD, dan di taska nanti mustahil untuk menCDkan anak menjadi penghalang.

Peristiwa ketiga, dan inilah yang benar-benar membuat saya benar-benar beralih kepada CD, ialah perubahan di tempat tinggal saya. Semasa mula-mula berpindah ke rumah baru iaitu di sebuah kampung (betul-betul kampung ni), ada tong sampah besar untuk penduduk berkongsi membuang sampah. Jadi rutin kami setiap pagi ialah menumpangkan sampah  di dalam kereta dan membuangnya di tong besar itu dalam perajalanan pergi bekerja.

Pada suatu hari, perkhidmatan tong sampah itu diberhentikan! Jadi sampah terpaksa ditumpangkan sampai ke tempat kerja, kemudian dibuang di mana-mana tong sampah di tempat kerja. Kerja ini bukannya mudah kerana tong sampah besar di tempat kerja bukanlah sentiasa available, kerana ia ada jadual pengisian dan pengosongannya yang tidak kami ketahui yang sudah tentu bukan untuk kami tetapi untuk syarikat pembersihan. Sampah pula menjadi semakin berat kerana beratnya DD kotor Aisyah yang kini juga sudah jadi heavy wetter selepas berhenti menyusu badan.

Selepas berfikir-fikir, saya nekad bahawa saya tidak mahu lagi menjadi hamba tukang buang pampers berat. Sampah lain boleh dibakar di belakang rumah (ini kan stail orang kampung), tapi DD tidak mungkin! Macamana nak tanam sayur nanti kalau tanah tu dah dirosakkan dengan bahan kimia tidak reput bercampur najis! Saya mesti betul-betul beralih kepada CD dan memastikan ia berjaya kali ini. Maka pembacaan serius saya pun bermula, membawa kepada saya membeli CD, sedikit demi sedikit, dari beberapa blog dan e-shop.

Dari beberapa forum tempatan, saya mendapat banyak tips penggunaan CD yang berharga. Saya memakaikan CD kepada Aisyah di rumah untuk beberapa lama sehinggalah saya yakin bahawa pemakaian CD akan berkesan dan berjaya dilaksanakan sepenuhnya.

Untuk  mengelakkan CD bocor, saya letakkan satu doubler hemp di bawah satu insert microfiber. Juga mesti dipastikan bahawa rekabentuk CD itu tidak menyebabkan droop wing (ini taktau nak explain macamana). Sejurus sebelum Aisyah tidur siang dan malam, mesti pakaikan dia CD yang fresh untuk bersedia menadah aliran lebat.

Untuk penjimatan elektrik, CD mesti ada banyak supaya kita tidak terdesak untuk memasang lampu dan kipas semata-mata untuk mengeringkan CD di dalam rumah pada musim hujan. Sebenarnya di rumah, jika saya sendiri yang akan memakaikan lampin, saya hanya pakaikan prefold dengan CD cover atau pada musim hujan, saya gunakan 2 helai kain lampin 4 segi yang dilipat seperti cara melipat prefold. Kaedah ini lebih menjimatkan dan lebih mudah kering.

Tetapi untuk mendapat kerjasama dari orang lain yang akan memakaikan CD kepada Aisyah (suami dan penjaga), mesti sentiasa ada CD moden yang sudah sedia untuk dipakaikan. Oleh itu, saya menggunakan waktu duduk di dalam kereta (iaitu kalau suami yang memandu) sebagai waktu menyumbat CD-CD poket dengan insert. Bukannya apa, menyumbat insert ke dalam poket tak boleh buat cincai-cincai sebab kalau insertnya tak rata boleh menyebabkan bocor. Lepas sumbat saya lapik lagi dengan flushable liner supaya kalau Aisyah buang air besar, boleh dibuangkan terus liner itu beserta ketulan najis ke dalam lubang tandas. Kalau liner hanya basah dan belum koyak, ia boleh dibilas bersih-bersih dan diguna semula selepas kering.

Selepas yakin bahawa CD yang saya ada sudah agak mencukupi dan pemakaiannya berkesan, barulah saya tanyakan cikgu taska tentang kesanggupannya untuk memakaikan CD kepada Aisyah. Alhamdulillah cikgu taska sanggup dan bekerjasama, walaupun secara agak beransur-ansur. Kini Aisyah dipakaikan sepenuhnya dengan CD, di taska dan di rumah ada sedikit sahaja DD sebagai spare untuk dipakaikan dalam situasi mendesak sahaja iaitu apabila Aisyah cirit-birit atau pada waktu tiada air.

Kini sudah 5 bulan Aisyah dipakaikan CD. Pemakaian CD jelas berkesan kerana ia lebih mampu menampung air kencing Aisyah yang banyak sewaktu tidur malam. CD juga membantu Aisyah yang kini sedang berlatih buang air di tandas. Suami juga memberi kerjasama untuk memakaikan CD kepada Aisyah jika disediakan CD Velcro yang sudah siap bersumbat. Yang pasti suami akhirnya bersetuju bahawa CD lebih baik kerana pemakaiannya sama mudah dengan DD, Aisyah tidak ruam lagi, dan dia dapat berjimat RM60 sebulan untuk Aisyah dan bakal adik-adiknya!

Demikianlah kisah CD saya dan puteri-puteri saya. InsyaAllah bakal bayi ke-3 yang akan saya lahirkan tidak lama lagi akan menyambung pemakaian CD kakaknya. Target saya ialah Aisyah tidak berlampin lagi menjelang ketibaan adiknya jadi adiknya boleh mewarisi semua CD kakaknya itu.